Monday 15 December 2014

8 Jenis Kasut Pelangkap Buat Lelaki

Memiliki jumlah kasut yang banyak dengan jenis yang berbeza mungkin sinonim dengan insan bernama wanita. Ia mungkin kedengaran pelik jika wanita tidak suka akan kasut kerana wanita dan kasut tidak boleh dipisahkan. Tetapi jangan pinggirkan kaum lelaki kerana tanpa mereka sedar, golongan adam juga perlu sekurang-kurangnya memiliki tiga jenis kasut yang berbeza di dalam almari kasut mereka.

Sesetengah golongan adam tidak menitik beratkan soal pentingnya memiliki pelbagai jenis kasut mengikut kesesuaian. Tanpa mereka sedar, selain pelengkap gaya, kasut juga perlu disesuaikan dengan aktiviti yang dilakukan bagi memberi keselesaan kepada diri sendiri. Jadi, kepada kaum adam di luar sana, sila ambil nota. Anda perlu mengikut serba-sedikit sifat wanita yang cukup gemar bertukar kasut.

Kaum adam kini tidak perlu risau jika mereka tiada banyak pilihan kerana seiring dengan perkembangan fesyen, kasut-kasut lelaki yang berada di pasaran kini hadir dengan rekaan lebih menarik dan mengikut trend semasa.

FORMAL / DRESS SHOE




Kasut jenis 'formal' atau 'dress shoe' sesuai digayakan jika menghadiri acara formal dan juga ke pejabat. Ini adalah kasut wajib terutamanya bagi kaum lelaki yang bekerja di pejabat atau terlibat dalam bidang kerja profesional. Namun, 'dress shoe' yang dahulunya hanya hadir dalam warna hitam, kini telah muncul di pasaran dengan pelbagai warna dan rekaan yang lebih bergaya. Kaum lelaki tampil lebih bergaya apabila kini boleh menggayakan kasut jenis ini selain daripada acara formal seperti bersama jeans.

SNEAKERS



Mungkin kaum lelaki tidak kisah untuk memiliki pelbagai jenis kasut tetapi bohong jika mereka tidak memiliki sneakers. Sneakers merupakan kasut kasual paling diminati bukan sahaja oleh kaum adam, malah begitu juga dengan kaum hawa. Rekaan yang ringkas dan memberi keselesaan yang maksimum menjadikan sneakers pilihan nombor satu dan wajib ada di dalam almari kasut. Ia sangat sesuai digayakan dalam mana-mana acara tidak formal dan ketika bersiar-siar. Ia juga boleh didapati dengan harga yang murah dan berpatutan seperti di 'downtown' dan 'uptown'. Anda juga mesti setuju dengan pernyataan ini bukan? Jenama tidak penting kerana biar murah asal nampak bergaya!

LOAFERS




Selain sneakers, loafers juga merupakan salah satu kasut jenis kasual ringkas yang direka bagi mereka yang sederhana. Ia juga selesa dan hadir dalam rekaan lebih moden. Loafers amat mudah digayakan dan sesuai dengan semua jenis pakaian kasual kaum lelaki. Rekaannya hampir menyamai 'dress shoe' di mana ia lebih sesuai untuk digayakan pada hari-hari biasa.

MOCCASINS




Moccasins juga merupakan adalah kasut terakhir dalam senarai kasut jenis kasual yang terhangat di pasaran dan menjadi rebutan kini. Moccasins juga terdapat dalam dua jenis iaitu jenis yang pertama diperbuat daripada fabrik yang ringan dan lembut, manakala jenis yang kedua daripada fabrik yang agak keras. Anda yang menggilai artis K-pop sememangnya cukup mengenali kasut jenis ini. Lihat sahaja artis lelaki mereka yang gemar menggayakan moccasins dan dipadankan dengan seluar 'skinny' pendek atau 'skinny' panjang yang dilipat sedikit hujung seluar hingga paras buku lali. Anda boleh lihat betapa pesona kasut yang dipakai juga menyebabkan seseorang lelaki itu mudah digilai oleh wanita.

KASUT SUKAN




Mungkin tidak perlu diterangkan dengan huraian yang panjang lebar mengenai kasut jenis ini. Kasut sukan juga merupakan kasut wajib ada di dalam almari kasut. Apa yang penting, kasut sukan perlulah kasut yang selesa untuk digunakan terutamnya untuk berlari. Mungkin ia nampak remeh tetapi kasut sukan yang sesuai amat penting bukan sahaja untuk keselesaan kaki tetapi juga bagi mengelakkan sebarang kecederaan semasa bersukan. Pilih kasut sukan yang menyerap tekanan dan diperbuat daripada fabrik menyerap peluh.

KASUT BOLA / FUTSAL




Bercakap mengenai kasut bola untuk sukan bola sepak dan futsal, sudah semestinya ia juga benda wajib bagi kaum lelaki kecuali dia merupakan seorang kaki bangku. Pilih sahaja kasut bola yang sesuai mengikut jenis permainan dan pastikan anda gunakan selalu kerana selalunya kasut bola di pasaran agak mahal. Bagaimanapun anda tidak akan rugi berbelanja lebih untuk kasut jenis ini kerana kualitinya di tahap terbaik.

FLIP FLOPS / SANDAL




Anda lelaki yang sememangnya ringkas dan mudah? Anda juga merasakan memakai kasut bertutup ketika keluar bersiar-siar dan bersantai hujung minggu sebagai menyusahkan dan merumitkan? Flip flops dan sandal mungkin pilihan anda. Ia sememangnya mudah , ringkas dan senang apatah lagi ia kini hadir dengan pelbagai corak dan rekaan menarik. Flip flops yang juga digelar 'selipar Jepun moden' sudah tentunya menjadi pilihan ramai anak muda apatah lagi ia ringan dan selesa dipakai terutamanya ketika cuaca panas. Sandal lelaki yang turut terdiri daripada beberapa jenis juga sesuai dipadankan dengan semua jenis pakaian kasual tanpa anda risau digelar ‘si buta fesyen’. Ia benda yang wajib dibawa ketika bercuti di kawasan berpantai.

BUT





Lelaki yang memakai but dilihat sebagai seseorang yang lasak dan kemas. Selain memakainya untuk bergaya, but juga membantu menghangatkan kaki daripada angin sejuk. But juga menaikkan seri gaya si pemakai apabila digayakan dengan apa sahaja fesyen terkini dan membantu seseorang tampil berbeza. Terdapat beberapa variasi but yang dihasilkan di pasaran seperti but tinggi, but paras lutut, but paras buku lali, but penunggang motosikal dan 'vintage boots'. Ia pilihan yang terbaik buat si lelaki jika sekali-sekala ingin tampil berbeza dalam bergaya.

No comments:

Post a Comment